PERKARA YG MEMBATALKAN PUASA
Tumpuan kita yang pertama kepada perkara yang ditokok tambah ialah hukum memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa. Contohnya:
1. Memasukkan objek spt. pen ke dalam mulut membatalkan puasa.
2. Menelan air liur membatalkan puasa.
3. Mengorek telinga dengan 'cotton buds' membatalkan puasa.
4. Mengorek hidung membatalkan puasa.
5. Buang air besar tanpa meneran sepenuhnya, membatalkan puasa.
Semua di atas dan pelbagai lagi yang seumpama adalah hukum yang ditokok tambah ke dalam ibadah puasa sehingga benar-benar memberatkan umat Islam. Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Yang sebenarnya membatalkan puasa hanyalah tiga perkara iaitu bersetubuh, makan dan minum di siang hari bulan Ramadhan. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib). [al-Baqarah 2:187]
Makanan dan minuman yang membatalkan puasa terbahagi kepada dua kategori:
PERTAMA:
Sesuatu yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga secara hakiki kepada orang yang mengambilnya, sekali pun dalam jumlah yang sedikit.
Apa-apa makanan yang diambil secara sengaja dan sampai ke perut, maka ia membatalkan puasa. Apa-apa minuman yang diambil secara sengaja dan melalui tenggorok, maka ia membatalkan puasa. Apa-apa zat makanan yang dimasukkan ke dalam darah melalui suntikan, umpama glukosa yang diberikan kepada pesakit yang tidak dapat makan dan minum seperti biasa, ia juga membatalkan puasa.
Maka dengan itu apa-apa benda, makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam rongga-rongga manusia, ia tidaklah membatalkan puasa. Contohnya, memasukkan pen ke dalam mulut, menggosok gigi, berkumur-kumur, membersihkan telinga, mengorek hidung, menggunakan ubat titisan mata, menyedut debu, peneranan yang tidak sempurna ketika membuang air besar dan pelbagai lagi, semua ini tidak membatalkan puasa.
Merasai makanan yang sedang dimasak tidak membatalkan puasa asalkan ia dikeluarkan semula. Baki makanan yang ditemui terselit di celah-celah gigi tidak membatalkan puasa asalkan ia tidak ditelan secara sengaja. Menelan air liur, sengaja atau tidak sengaja, juga tidak membatalkan puasa. Air liur tidak pernah dianggap di sisi manusia yang normal sebagai minuman. Seandainya air liur adalah sejenis minuman, nescaya tidak ada manusia yang mati kehausan jika terdampar di padang pasir.
Demikian juga, mengambil suntikan insulin bagi pesakit kencing manis dan menggunakan alat melegakan pernafasan bagi pesakit asma, ia tidaklah membatalkan puasa.
Timbul persoalan, adakah menelan ubat tanpa disertai apa-apa minuman membatalkan puasa? Contohnya seorang berpuasa yang menghadapi pening kepala, lalu dia menelan dua biji Panadol. Adakah ini membatalkan puasa? Yang benar dia tidak perlu meneruskan puasanya kerana sakit yang dihadapinya adalah salah satu bentuk keuzuran yang membolehkan dia berbuka. Maka berbuka adalah lebih utama daripada menjerumuskan diri ke dalam sesuatu yang diperselisihkan hukumnya.
KEDUA:
Sesuatu yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga secara psikologi sekali pun dalam jumlah yang sedikit. Ia bukanlah makanan dan minuman tetapi mengambilnya memberi kesan psikologi berupa kepuasan atau kenikmatan yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga bagi nafsu.
Contohnya ialah orang yang menghisap rokok. Asap rokok bukanlah makanan atau minuman tetapi bagi penghisap rokok, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka menghisap rokok membatalkan puasa. Akan tetapi bagi orang di sekitarnya yang terhisap asap rokok tersebut (secondary smoker), ia tidak [flash=200,200]membatalkan puasa kerana asap rokok tersebut bukanlah satu nikmat bagi diri mereka.
Tetap pada contoh asap, menyedut asap kenderaan di lalulintas yang sesak tidak dianggap membatalkan puasa. Ini kerana asap kenderaan bagi manusia yang norma, tanpa dibezakan dia penghisap rokok atau tidak, bukanlah suatu nikmat yang memuaskan.
Contoh lain ialah menghisap dadah atau mengambil dadah melalui suntikan. Dadah bukanlah makanan atau minuman tetapi bagi penagih dadah, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka menghisap atau menagih dadah membatalkan puasa.
Dalil bagi apa yang disebut dalam kategori kedua ini ialah hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa Allah berfirman (Hadis Qudsi):
Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku.
Yang dimaksudkan dengan meninggalkan kenikmatan bukanlah semua bentuk nikmat seperti tidur, mandi dan sebagainya. Akan tetapi ia adalah nikmat yang terhasil pada diri seseorang seumpama makan dan minum.
Daripada penjelasan di atas, jelas bahawa dalam kebanyakan aktiviti seharian kita yang normal, tidak ada sesuatu yang menyebabkan terbatalnya puasa. Antara hikmah berpuasa adalah mendisiplinkan diri daripada bersetubuh, makan, minum dan sesuatu kenikmatan yang seumpama makan dan minum pada siang hari. Menokok tambah hukum bahawa kononnya memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa tidak ditemui dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ia juga tidak memiliki apa-apa peranan mahupun manfaat dari sudut hikmah disyari‘atkan berpuasa.
Dalil yang lazimnya digunakan oleh pihak yang mengatakan batal puasa bagi seseorang yang memasuk sesuatu ke dalam rongga badannya ialah hadis berikut:
Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.
Berdasarkan sabda Rasulullah “…kecuali jika kamu sedang berpuasa” mereka memahami bahawa seseorang itu dilarang menyedut air ke dalam hidung apabila sedang mengambil wudhu’ dalam keadaan berpuasa. Jika dimasukkan air, ia akan membatalkan puasa. Kemudian fahaman ini diluaskan kepada semua rongga tubuh badan berdasarkan analogi (qiyas).
Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.”
No comments:
Post a Comment